Isnin, 19 Julai 2010

Adakah Amalan Bulan Syaaban Bidaah?

Ibnu Ja'afar 2010

Soalan:
Apakah amalan yang boleh dilakukan pada bulan Syaaban ?


Jawapan:
Pengenalan
Pada Malam Nisfu Syaaban, Orang Melayu beragama Islam di Malaysia akan berkumpul di masjid atau di surau untuk sembahyang Maghrib dan kemudian membaca Yasin sebanyak 3 kali. Kali pertama dengan niat dipanjangkan umur, kali kedua diniatkan untuk menolak balak dan ketiga untuk terkaya daripada manusia. Setiap habis membaca Yasin, imam akan membaca doa Nisfu Syaaban. Amalan ini bersumberkan kitab Senjata Tok Lebai dan Tok Haji 1949 karangan Syeikah Abdul Kadir al-Mandili. Dalam kitab ini dinyatakan bahawa sumber amalan ini ialah hadis riwayat Abdullah Ibnu Mas'ud al-Huzaili yang dipetik daripada kitab al-Musannaf karangan Ibn Abu Syaibah dan al-Du'a karangan Ibn Abu al-Dunya.

Penjelasan
1. Amalan ini tidak disahkan thabit daripada Rasullullah SAW, sahabat dan tabiin dalam beberapa abad yang pertama. Hadis yang dijadikan sandaran itu juga tidak sahih.Kandungan doa yang dibaca pula berdasarkan fakta yang salah seperti pembaharuan rekod amalan dan keputusan qadha' dan qadar yang disempurnakan pada malam nisfu Syaaban. (Sebenarnya diputuskan pada malam lailatulqadar dalam bulan Ramadhan)



2. Susunan doa yang dibaca tidak sesuai dengan gaya bahasa sabda Rasululullah. Mutu bahasa Arab dan gaya bahasanya lemah.

3. Ada juga amalan yang dinamakan solat seratus rakaat Setiap rakaat dibaca sepuluh kali surah al-Ikhlas. Nama lain bagi solat ini ialah solat al-fiah (sembahyang seribu.). Hal ini ada tertulis dalam buku Qutul qulub dan Ihya' Ulumuddin. Menurut Imam Nawawi menerusi kitabnya a-Majmu', solat itu adalah bida'ah. Perkara ini dinyatakan dalam kitab Yas alu naka fiddin wal hayat, 4/328.

4. Bulan Syaaban juga merupakan peluang bulan terakhir untuk menqadha puasa kerana selepas Syaaban ialah Ramadhan. Pendapat yang mengatakan yang puasa qadha tidak boleh dilakukan selepas 15 Syaaban adalah salah.

5. Pada bulan ini digalakkan memperbanyak puasa sunat. Melalui hadis Bukhari bilangan 1833 dan Muslim pada bilangan 1956, dinyatakan oleh Aisyah bahawa baginda banyak berpuasa pada bulan ini sehingga dikatakan tidak pernah berbuka.

6. Amalan berpuasa tiga bulan berturut-turut iaitu Rajab, Syaaban dan Ramadhan dan 6 hari Syawal sebenarnya amalan itu tidak thabit dari rasulullah, sahabat dan tabiin. (Dr Abdul Hayei bin Abdul Sukor, 1001 Kemusykilan Agama).

7. Dalam  riwayat, ada menyatakan baginda berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, kadang-kadang tiga hari dalam sebulan terutamanya pada hari kesepuluh, sebelas dan dua belas setiap bulan. Ada ketikanya baginda berpuasa seperti nabi Daud iatu berpuasa selang sehari (sehari puasa, sehari buka).

8. Amalan yang boeh dilakukan pada malam ini ialah puasa sunat, berzikir, solat tahajjud, doa dan istighfar seperti yang biasadilakukan pada malam-malam lain.


9. Menurut sebuah hadis riwayat al-Munziri, daripada Muaz bin Jabal, katanya Berkata nabi SAW, Allah melihat makhluqNya, pada malam Nisfu syaaban lalu mengampuni dosa mereka kecuali mereka yang syirik kepada Allah dan yang masih menyimpan dendam. (al-Mutaqa, 1/318).

10. Program yang boleh dilakukan bagi menggantikan amalan bidaah ialah, program ceramah atau forum berkaitan perintah pertukaran arah qiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah.( Mimbar al-Islam, Jun 1981 , muka surat 82, Sirah Ibn Hisyam, 1988, muka surat 176). Pengisiannya berkaitan perjuangan Rasulullah dan isu pembunuhan rakyat Palestine. Pada tarikh 15 Syaaban juga berlaku peristiwa peperangan Badar ke-3 , peperangan bani Mustalik pada 15 Syaaban tahun ke-5 Hijrah, kewafatan Imam al-layth Ibn saad pada 15 Syabaan tahun 175 Hijrah, wafatnya Imam Ishak ibn Rawayh pada 15 Syaaban 238 Hijrah dan lain lain.
Pada malam ini juga perlu ada program berdamai, berkasih sayang serta bermaaf-maafan sesama Islam atas segala kesalahan yang berlaku setahun yang lalu sebelum menyambut Ramadhan. Kita juga perlu membuang dendam kesumat dan penyakit hasad dengki.

Kesimpulan
Menurut Imam Muhammad Abduh, pendapat yang mengatakan bahawa malam Nisfu Syaban ialah malam yang berkat yang dijelaskan padanya segala urusan yang mengandungi hikmat ialah malam Nisfu syaaban dan urusan-urusan yang dijalan pada malam itu ialah rezeqi dan umur dan demikian pula apa yang yang mereka katakan serupa itu pada malam lailatul qadar adalah termasuk dalam kategori memperkatakan perkara ghaib tanpa ilmu dan hujjah yang qath'i. Kita tidak harus mengi'tiqadkan sebegitu rupa selama tidak datang berita mutawatir dari rasul SAW. Pada hal dalam hal ini kebanyakan riwayat-riwayatnya ia;ah dhaif dan bohong. (al-Fatwa muka surat 291).

Upacara membaca yasin dan doa khas tidak diajarkan oleh rasul SAW dan tidak diamalkan oleh para sahabat dan ulama al-Salaf al-Soleh RA dan lafaz doa itu diambil oleh al-Alim Abu Bakr bin Ahmad dari a-Alaamah Abdullah bin Asad al-Yafi'e semadsa dalam perjalanan ke Madinah pada 733H. (al-Bidaah bahaya dan keburukannya muka surat, 198-199) .

Menurut Imam Ibnu Taimiyah, "Adapun mengadakan solat dengan bilangan rakaat tertentu dan dikerjakan secara ratibah  seperti solat Raghaib pada malam Jumat pertama bulan Rajab dan solat seribu rakaat pada awal Rajab, solat Nisfu Syaaban, solat malam 27 Rajab dan lain-lain sepertinya tidaklah disyariatkan dengan sepakat imam-imam kaum muslimin sebagaimana dinaskan oleh ulamak-ulamak yang muktabar. Orang yang mencintainya ialah orang jahil. ( Majmu' Fatwa Ibnu taimiyah , II, halman 3).

(c)Ibnu Ja'afar 2010

* Ini ialah tulisan saya berdasarkan jawapan Dr Abdul Hayei Abdul Syukur dan sumber yang dinyatakan dalam tulisan saya. Jika salah, saya pohon pembetulan. Ibnu Ja'afar al-Jawharey.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan