Sabtu, 26 Jun 2010

Hukum Menyentuh Wanita Bukan Mahram Dalam Wudhuk

Soalan:
Apakah hukum bersentuhan lelaki dan wanita bukan mahram atau suami isteri sedangkan mereka dalam keadaan wudhuk?

Jawapan;
Menurut  Ulama Mazhab Hanafi , persentuhan kulit lelaki dan wanita tidak membatalkan wudhuk. Yang membatalkan wudhuk ialah apabila bertemunya alat sulit lelaki dan wanita tanpa ada apa-apa penghalang. Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah (r.a) , yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Arba'ah dengan sanad yang para perawinya dapat dipercaya, yang bermaksud : "Rasullullah mencium sebahagian isteri-isterinya lalu sembahyang tanpa berwudhuk lagi."

Sebuah lagi hadis daripada Aisyah yang dikeluarkan oleh Ishaq bin Rawahaih dan Bazzar dengan sanad yang cukup baik, yang bermaksud :" Bahawa Basulullah menciumnya dan saat itu beliau sedang  berpuasa. Lalu sabdanya, ciuman itu tidak merosakkan wudhuk dan tidak pula membatalkan puasa."

Ditambah satu lagi hadis daripada Aisyah (r.a) , iaitu Hadis Muslim dan Tirmizi yang mengesahkannya, yang bermaksud : " Pada suatu malam aku kehilangan Rasulullah (SAW) dari tempat tidur lalu aku mencarinya dan kebetulan tanganku menyentuh telapak kakinya yang tegak kerana baginda sedang sujud.

Menurut firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 43 yang berbunyi   أو لامستم النساء yang bermaksud atau jika kamu menyentuh wanita (membatalkan wudhuk). Namun begitu, maksud perkataan menyentuh dalam ayat ini ialah melakukan hubungan 'intim'. Maksud ini diriwayatkan oleh Ali dan Ibn Abbas. Diterima dari 'Ubaid bin Humaid bahawa Ibnu Abbas mentafsirkan perkataan  al-mulamasah dalam ayat tersebut secara demonstratif, beliau memasukkan jari telunjuk ke dalam telinganya lalu berkata , " Ketahuilah bahawa perkataan itu bermaksud an-naik, bersetubuh."

Ulamak Syafi'i berpendapat bahawa wudhuk menjadi batal kerana bersentuhan kulit lelaki dan perempuan dengan syarat orang yang disentuh itu bukan anak-anak kecil dan bukan muhrim serta antara keduanya tidak terdapat penghalang dan tidak batal kerana menyentuh rambut, gigi atau kuku kerana semua ini tidak menimbulkan rangsangan. Hal ini berdasarkan zahir ayat 'au laamastumunnisa' di atas. Ibnu Mas'ud membacanya tanpa membaca panjang huruf lam pada  'au lamastumunnisa' yang membawa maksud 'atau kamu menyentuh wanita.'

Menurut penjelasan Umar sebagaimana diriwayatkan Malik: "Ciuman seorang kepada isterinya atau menyentuhnya dengan tangan termasuk mulaasamah. Maka sesiapa mencium isterinya atau menyentuhnya dengan tangan, hendaklah berwudhuk.". (Diriwayatkan oleh Daraquhni dalam Musnadnya, juga ia meriwayatkan penjelasan serupa daripada Ibnu Mas'ud).

Golongan Maliki dan Hanbali berpendirian, persentuhan kulit di antara lelaki dan wanita sekalipun muhrim, membatalkan wudhuk jika perbuatan ini dilakukan dengan senghaja untuk mendapatkan kenikmatan (syahwat). Jika tidak sengaja maka tidak batal wudhuk. Mazhab Maliki mensyaratkan adanya rasa nikmat. Jika rasa ini telah tiada maka persentuhan tidak membatalkan wudhuk. Menurut mereka lagi, menyentuh perempuan tua yang sudah tiada bernafsu dan anak kecil tidak membatalkan wudhuk.

Secara ringkasnya:

Mazhab Hanafi: 
Sentuhan lelaki dan wanita tidak membatalkan wudhuk melainkan apabila dilakukan dengan cara yang keji( mubasyarah fahisyah).

Mazhab Maliki:
Sentuhan lelaki dan wanita tidak membatalkan wudhuk. Wudhuk akan menjadi batal hanya jika:
1. Lelaki yang menyentuh itu baligh.
2. Menyentuh dengan maksud kenikmatan atau merasai nikmat tanpa sengaja.
3.Kulit yang disentuh tidak bertutup.
4.Orang yang disentuh mudah terangsang nafsunya.

Mazhab Syafi'i:  
Sentuhan itu membatalkan wudhuk secara mutlak. Kekecualian hanya pada rambut, gigi, dan kuku. Menyentuh mayat wanita membatalkan wudhuk kecuali muhrim.

Mazhab Hambali: 
Sentuhan itu tidak membatalkan wudhuk. Ia akan menjadi batal apabila sentuhan itu dengan syahwat dan tanpa lapik. Tidak ada bezanya ajnabi atau muhrim, hidup atau mayat, muda atau tua , besar atau kecil tetapi sudah mengenal berahi. Hukum ini berlaku sama ada kepada lelaki atau perempuan kecuali tersentuh rambut, gigi atau kuku maka tidak batal.
Sekian. Wallhu Ta'ala a'lamu bi sawab.

Ibnu Ja'far 2010M/1431H

Sumber:
1.Fiqh al-Mar-ah
2.As- salatu alal mazahibil ar ba'ah, Abdul Qadir ar-Rahbawi , Darus Salam, Cairo, Beirut-Haib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan