Sabtu, 26 Jun 2010

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak

1.0 Peranan Ibu Bapa dalam Membentuk Anak-anak
Peranan ibu bapa adalah besar untuk mendisiplinkan anak-anak. Perbuatan tidak mahu ke sekolah apabila dipanggil untuk berbincang tentang anak-anak, adalah satu tingkah laku negatif kerana ia menunjukkan sikap menongkah arus.
Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menarik minat ibu bapa datang ke sekolah namun usaha itu masih belum sampai ke tahap yang diinginkan. Sebenarnya ibu bapa dan guru perlu mempunyai hubungan yang baik dan erat. Lebih-lebih lagi pada era globalisasi ini yang memaparkan pelbagai karenah negatif yang membabitkan kanak-kanak dan remaja. Ini adalah kerana statistik salah laku yang dipaparkan oleh pihak media kian menakutkan hari demi hari. Sebenarnya kes-kes disiplin adalah suatu yang tidak boleh dibiarkan. Kes terbaru ialah berkaitan pergaduhan di antara dua kumpulan pelajar dengan bersenjatakan pedang dan parang.

Di antara perkara yang boleh dilihat ialah, sebenarnya peranan ibu bapa dalam mendidik adalah bermula dari rumah lagi. Pembentukan anak-anak adalah dari peringkat awal. Untuk mengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, menurut Rousseau, (1762) dalam Hasan Langgulung, (1979:16) seorang ahli falsafah Perancis yang ideanya sendiri banyak dipengaruhi oleh pemikir-pemikir Islam berpendapat, masa kanak-kanak di kalangan manusia adalah lebih panjang jika dibandingkan dengan makhluk lain seperti haiwan. Rousseau selanjutnya menjelaskan bagaimana kanak-kanak memerlukan perlindungan. Ini boleh dilakukan dengan menyediakan persekitaran yang sihat dan dapat mengembangkan potensi yang ada pada kanak-kanak tersebut. Pendedahan kepada persekitaran yang sesuai akan mengajar mereka menjalani kehidupan dengan sempurna. Kanak-kanak tidak harus ditinggalkan sendirian dan dipengaruhi oleh gejala-gejala negatif yang membawa kepada kejahatan dan kejahilan .
Selanjutnya Rousseau menjelaskan: "Pentingnya masa kanak-kanak di mana peribadi kanak-kanak terbentuk dan pengaruhnya besar sekali pada kehidupan selanjutnya, yakni masa dewasa dan masa tua, hal-hal pertamalah yang patut dipelihara, sebab kanak-kanak pada asalnya diciptakan siap untuk menerima baik atau buruk. Hanya orang tuanyalah yang mencenderungkan kepada salah satu di antaranya"
Selain daripada kedudukan anak sebagai amanah Allah kepada ibubapa, anak juga merupakan cubaan atau ujian kepada mereka. Allah menguji sama ada ibubapa dapat melaksanakan amanah ini. Sekiranya amanah ini terlaksana ibubapa memperolehi ganjaran seperti ibadah. Firman Allah bermaksud:
"Dan ketahuilah, bahawa harta bendamu dan anak-anakmu itu adalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar."
(Surah al-Anfal:28)
Jelaslah di sini bahawa pendidikan peringkat awal sangat dititik beratkan oleh filosofi Islam dan Barat. Mereka sependapat bahawa pendidikan kanak-kanak harus mendapat perhatian sepenuhnya kerana kanak-kanak mempunyai waktu tertentu yang sangat singkat dan perlu mendapat perhatian serius.
Peranan ibu bapa mendidik anak kini semakin mencabar. Lantaran sibuk dengan urusan tugas untuk menyara keluarga, para ibu bapa kini sudah mula alpa tentang tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak. Urusan pendidikan awal kanak-kanak ini seharusnya dititikberatkan kerana mereka adalah ibarat kain putih. Ini adalah jelas berdasarkan sabda nabi Muhammad S.A.W:

كل مولود يولد على الفطرة فابوه يهودانه او ينصرانه او يمجسانه
“Setiap anak itu dilahirkan dalam fitrah (kesucian) maka ibu bapanyalah yang akan menjadikannya sebagai seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas harian , ibu bapa mula mengabaikan didikan peringkat awal ini menyebabkan kanak-kanak sudah mula terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dari sejak kanak-kanak lagi. Melalui perkembangan teknologi dan bantuan satelit, pelbagai resepi hiburan dan paparan jenayah mudah meresap masuk ke dalam rumah melalaui peti televisyen dengan jenama hiburan dan pendidikan , maka kanak-kanak tanpa kawalan ini akan mudah terpengaruh dan sehingga ada yang terlibat dengan kes bunuh dengan tanpa disedari kerana terpengaruh dengan televisyen. Hal ini bertambah rumi apabila kanak-kanak ini mulai remaja.

Hal ini dinyatakan oleh Aziz (1989) dalam PS Zahariah Ayub (2005:15) bahawa penglibatan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak adalah kurang memuaskan. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan menunjukkan bahawa penglibatan ibu bapa pada tahap rendah di kalangan kanak-kanak luar bandar dalam aspek pendidikan adalah disebabkan faktor budaya. Masyarakat Melayu, Cina dan India di kawsan luar bandar beranggapan guru adalah serba tahu (masters) dan mereka tidak perlu berbincang dengan guru tambahan pula masyarakat di sini tidak berpendidikan tinggi.

Sebenarnya, proses pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak banyak dipengaruhi alam persekitaran. Menurut Hasan Ali (1994:8), faktor warisan atau genetik semata - mata bukan pengaruh yang utama. Pengkayaan pengalaman melalui asuhan ’nurture’ merupakan pengaruh yang lebih dominan. Asuhan dan pengkayaan pengalaman memainkan peranan penting untuk membantu memperkembang dan mempertingkatkan kepintaran seseorang.

Isu yang timbul ialah, apakah yang dilakukan oleh pihak ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang baik. Kanak-kanak mesti dididik dengan pendidikan yang baik. Justeru itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan untuk menentukan arah pendidikan kanak-kanak sejak mereka kecil lagi.

Walaupun pihak sekolah telah menyediakan banyak alternatif dengan objektif untuk menarik perhatian ibu bapa datang ke sekolah, namun jika ibu dan bapa tidak memainkan peranan dengan baik maka usaha itu hanya sia-sia. Justeru itu, marilah kita melihat bagaimanakah ibu bapa boleh membentuk anak-anak supaya ia menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat melalui cara Islam.

2.0 Falsafah Pendidikan Kanak-kanak dalam Islam
Pendidikan prasekolah adalah kewajipan fardu ain dalam syariat ke atas kedua ibu bapa. Menurut Abdul Halim el-Muhammady (1991 :34), jika tugas ini diabaikan, maka akibatnya akan dikenakan hukuman yang sama sebagaimana hukuman yang dikenakan bagi mereka yang mengabaikan perkara fardu lain seperti sembahyang, puasa dan lain-lain. Kanak-kanak di peringkat umur yang masih awal dilarang sama sekali diletakkan di bawah jagaan hamba, orang gila, fasiq dan kafir. Dalam pendidikan Islam, kanak-kanak ini mestilah diletakkan di bawah sistem ‘hadhanah’.
2.1 Sebelum kelahiran
Bagi melahirkan kehidupan rumah tangga yang memahami dan menghayati nilai-nilai syara’ , rasulullah mengingatkan kepada setiap bakal suami supaya cermat dan berhati-hati dalam memilih isteri. Sabda nabi :
تنكح المراة لأربع لما لها ولحسبها ولجمالها ولدينها فا ظفر بذات الدين تربت يدالك
Terjemahan: Perempuan dikahwini kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama; menguntungkan kamu.
Menurut Abdul Halim el-Muhammady (1991 :36), yang dimaksudkan beragama ialah orang yang taat kepada hukum Allah, beramal saleh dan menjaga dirinya dari melakukan perbuatan yang haram. Suami juga mesti mempunyai komitmrn agama yang lebih kerana kedudukannya sebagai ketua sesebuah keluarga.
2.2 Dalam kandungan
Menurut Habsah Md. Nor, Mohd. Isa Selamat (1994:210), pada waktu ini, siibu hendaklah sentiasa berdoa dan meletakkan harapan kepada Allah supaya anak yang bakal dilahirkan nanti akan menjadi seorang yang berilmu, beramal, bertaqwa dan beramal saleh. Sumber rezeki juga hendaklah dijaga dan makan makanan yang berzat.
2.3 Selepas kelahiran
Menurut Abu Afiqah (1994: 3-10), berdasarkan maksud ajaran Rasulullah, selepas kelahiran , bayi hendaklah disambut dengan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri dengan tujuan supaya anak itu diperdengarkan dengan kalimah syahadah yang suci sebelum mendengar sesuatu yang lain. Pada hari ketujuh, disunatkan diaqiqahkan dengan seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing jika anak lelaki dan disunatkan mencukur rambut pada hari tersebut. Rambut itu kemudian ditimbang dengan emas atau perak dan jumlah nilaian itu hendaklah disedekahkan .
2.4 Peringkat Umur Lima hingga Tujuh Tahun
Menurut Abdul Halim el-Muhammady (1991 :39), Pendidikan kanak-kanak di peringkat ini adalah lebih meluas dan menyeluruh di mana bahan-bahan untuk pengisian rohani, akal, dan jasmani adalah didedahkan secara serentak. Bahan-bahan pendidikan terutamanya al-Quran didedahkan dan disalurkan melalui cara ikutan dan hafalan.
Dalam aspek ibadat, kanak-kanak ini sudah mumayiz, mereka hendaklah diajar dan dilatih sembahyang, taharah dan dilatih berpuasa beberapaa hari dalam bulan ramadhan . Mereka hendaklah sentiasa dilatih solat berjemaah, membaca dan menghafal al-Quran.
Dalam aspek adab, mereka hendaklah dilatih dengan adab-adab yang baik seperti taat kepada kedua ibu bapa, taat kepada guru dan orang tua, adab makan, adab beraul dalam majlis, adab masuk ke tandas,adab tidur dan bangun tidur, adab berpakaian dan adab bercakap.
Dalam aspek jasmani, mereka hendaklah dibenarkan bermain yang becorak membina kesihatan dan kecerdasan. Kesihatan adalah penting dalam Islam sebagaimana sabda nabi :
المؤمن القوئ خير من المؤمن الضعيف
Terjemahan: Orang mukmin yang kuat lebih baik dari orang mukmin yang lemah.
Dalam aspek disiplin, mereka hendaklah dihargai apabila melakukan perkara yang baik. Bimbingan hendaklah diberikan apabila perlu dan hukuman diberikan jika ia melakukan perkara keji. Mereka juga jangan didedahkan dengan kemewahan. Selain itu pendidika juga hendakla seragam dan tiada pertentangan di antara ajaran guru dengan sikap ibu bapa di rumah. Kewibawaan guru dan ibu bapa hendaklah sentiasa dijaga supaya terus dihormati. Mereka juga tidak dibenarkan melakukan sesuatu secara sembunyi dan jangan dibiarkan mereka tidur pada siang hari kerana akan membawa tabiat malas.

2.5 Peringkat Umur Tujuh hingga Dua Belas Tahun
Pada peringkat ini, bermain merupakan satu perkara penting kepada kanak-kanak dalam membina pertumbuhan badan, menyelaraskan pergerakan otot dan mengikuti undang-undang masyarakat. Mereka juga dapat membina kebiasaan tentang kesihatan. Pergaulannya di alam persekolahan semakin meluas dan lebih condong kepada rakan sebaya. Tugas mereka pada saat ini ialah untuk membentuk hati kecil supaya dapat membezakan baik dan buruk sesuatu perkara. Dalam hal ini, ajaran agama dapat membantu pembinaan hati kecil kanak-kanak.


2.6 Peringkat Umur 12 hingga 18 tahun
Pada peringkat ini, peranan masyarakat adalah lebih dominan untuk membentuk anak-anak menjadi dewasa. Tugas perkemangan pada masa ini jelas memperlihatkan perbezaan yan terdapat antara satu masyarakat dengan masyarakat yang alin.
Menurut R.J Havighurst (1975:78-79) dalam Kamaruddin Hj. Husin (1996:28), tugas-tugas perkembangan ini boleh dibahagika kepada 8 peringkat iaitu:
a) Mencapai perhubungan baru dengan rakan sebaya
b) Menerima bentuk badan dan jantina
c) Membentuk kebebasan emosi pada ibu bapa
d) Mencapai kepastian kebebasan ekonomi
e) Memilih dan bersedia untuk pekerjaan
f) Membentuk kemahiran kecekapan sosial dan sivik
g) Mencapai tingkah laku sosial yang bertanggungjawab
h) Membina nilai dan sistem etika untuk panduan tingkahlaku.

3.0 Peranan rakan Sebaya


Remaja adalah terdiri dari manusia yang merupakan makhluk Allah. Makhluk Allah ini dibentuk sebagai insan yang begitu senang dipengaruhi dengan hakikat atau kenyataan, Zulkarnaen (2002). Remaja merupakan satu tempoh yang kritikal bagi seseorang individu itu berkembang ke arah kematangan. Pada peringkat ini, seorang remaja juga mengalami proses peralihan perubahan sikap dan kepercayaan untuk diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Remaja mempunyai keinginan yang tinggi untuk menjalin hubungan yang baik dan mendalam dengan ahli keluarga, rakan sebaya dan masyarakat.

Hubungan akrab dengan rakan sebaya lazimnya terbentuk di persekitaran luar rumah, iaitu sama ada sekolah sekolah serta di kawasan kejiranan, ataupun kini termasuk juga di ruang maya menerusi internet. Perkara yang menarik mengenai hubungan remaja dengan rakan sebaya adalah mereka dapat berkongsi perkara yang tidak dapat dikongsi bersama keluarga. Perkongsian dengan rakan sebaya lebih mudah dipercayai kerana tidak wujudnya jurang umur dan kematangan, dan dengan itu sudah tentulah rakan sebaya dijangkakan akan lebih memahami perasaan dan emosi yang mereka rasakan.

Hubungan yang rapat dengan rakan sebaya ini pasti akan membentuk tekanan ke atas diri remaja. Tekanan rakan sebaya bermaksud pengaruh yang kuat ke atas remaja daripada individu dalam kumpulan yang sama untuk bertingkah laku seperti mana kumpulan itu bertingkah laku. Menurut Mehta, McKenna dan Wurster (1996) tekanan ini yang tidak mahu dilakukannya. Sebagai contoh, ajakan untuk merokok, ponteng sekolah, mencuri, dan sebagainya.

Tidak dapat dinafikan tekanan ini mungkin juga hadir dalam bentuk yang positif. Malangnya, tekanan rakan sebaya yang negatif lebih kerap berlaku, kurang disedari dan sukar untuk dielakkan ( Jennifer James, 2000). Stastistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia merekodkan sepanjang tahun 2000 hingga 2002, terdapat 15 785 kes kanak-kanak dan remaja didapati terlibat dengan masalah juvana. Walaupun banyak faktor yang mempengaruhi permasalahan ini, tekanan daripada rakan sebaya jelas merupakan punca utama ( Mohamad, 2003).



4.0 Pengabaian Tanggungjawab Terhadap anak-anak
Akibat pengabaian tanggungjawab terhadap anak-anak, sudah pasti anak-anak akan berasa kekosongan. Kekosongan yang fitrahnya diisi oleh kasih sayang ibu dan bapa kini diisi oleh rakan sebaya. Rakan sebaya yang mempunyai persekitaran yang tidak teratur akan menghasilkan pemikiran yang juga tidak bersih. Akibatnya mereka terjerumus ke alam jenayah. Kebanyakan remaja yang terlibat dengan jenayah adalah mereka yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Mereka berasa bebas melakukan apa sahaja kerana bagi mereka ibu dan bapa tidak menjadi penghalang daripada melakukan kesalahan ataupun pemandu ke arah kebaikan.
Selain daripada itu, ada juga yang terjebak ke kancah merokok dan penagihan dadah. Serangan ancaman dadah bukan suatu yang kecil. Mereka yang sudah terjebak bukan hanya sukar untuk keluar daripada dunia najis itu malah akan menyusahkan ibu bapa, masyarakat dan akhirnya kesan akhirat iaitu kemurkaan Allah.

Menurut Dzulkifli (2002), kerajaan membelanjakan kira-kira RM4.8 bilion setahun untuk merawat pesakit yang menghidapi penyakit berkaitan dengan rokok atau tembakau seperti penyakit jantung, angin ahmar dan kanser. Ini tidak termasuk mereka yang dirawat di hospital dan klinik swasta.
Selain daripada itu, mereka juga akan sukar untuk menumpukan kepada pelajaran. Mereka tiada tumpuan dan sering mencari alasan untuk meleaskan diri dari tanggungjawab sama ada tanggungjawab diri atau tanggungjawab sosial.
Remaja yang diabaikan ini juga lebih percaya kepada hidup bebas dan tidak begitu mahu menggengam agama sebagai cara hidup. Ini adalah kerana mereka tidak dibimbing untuk mendekati Allah oleh ibu bapa mereka. Mereka berasakan hidup ini ialah kebebasan bersama rakan-rakan dan hiburan semata-mata. Apabila sudah menerima kesusahan barulah mereka sedar bahawa langit itu tinggi atau rendah.
Ada juga mereka yang mengandung tanpa bapa. Mereka melakukan hubungan seks tanpa mengetahui risiko dan yang lebih parah ialah mereka tidak sedar bahawa balasan dan ancaman Allah adalah sangat dahsyat.
Tanpa bimbingan ibu bapa, anak-anak akan menjadi seperti kapal tanpa nakhoda. Mereka akan terkapa-kapai tanpa haluan. Jika angkara ibu dan bapa, anak ini rosak, tunggulah azab allah di akhirat kelak kerana tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.
Melihat kepada kesan yang dihadapi daripada pengabaian tanggungjawab ini, maka ibu bapa mestilah sedar dan perlulah bekerjasama dengan guru dan sekolah agar kesepaduan dia antara penjaga dan guru akan dapat membantu pelajar manjadi insan yang berguna seperti kehendak falsafah pendidikan Islan dan Falsafah Pendidikan Negara.

5.0 Kesimpulan


Sebagai kesimpulan, mendidik anak perlu bersandarkan pengetahuan, kerana meniru didikan dari keluarga yang kita anggap cemerlang semata-mata tanpa menyesuaikan dengan keluarga serta kemampuan diri, kita dianggap sebagai ibu bapa yang tidak berpendirian.

Didikan awal kanak-kanak amatlah penting kerana ia membawa kepada corak peribadinya pada masa depan. Mustahaknya aspek itu menyebabkan Islam amat menitikberatkan didikan anak-anak dan menggalakkan ibu bapa melalui kehidupan yang sempurna.
Malah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan: “Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri daripada keadaan sesak itu.”

Dalam hal ini, biarlah anak kecil bebas melakukan apa yang mereka suka, asalkan tidak memudaratkan diri dan orang lain serta berfaedah untuknya, namun kegiatan itu perlu dipastikan agar tidak melanggar syariat Islam. Malangnya, segelintir ibu bapa hari ini masih kurang memahami aspek didikan menjadikan anak keliru mengenai kewujudan dirinya dalam keluarga.


Menurut Dr. Fauzi Ismail (2005), ibu bapa yang mengarah selalunya berpunca dari ibu bapa yang tidak bersedia menimbang anak menyebabkan kehadiran mereka dianggap tidak penting, sementara ibu bapa yang gemar menyekat cenderung mengongkong apa yang dilakukan anak hingga menyebabkan segala tindakan dilakukan anak-anak, semuanya tidak betul malah mudah menghukum.

Keibubapaan yang membenarkan pula turut menimbulkan kemudaratan apabila membenarkan segala tindakan anak tanpa berfikir panjang sama ada sesuatu tindakan dilakukan itu baik atau sebaliknya. Keibubapaan yang terbaik ialah membimbing dan memberikan tunjuk ajar, menghukum apabila silap tetapi memberikan kebebasan apabila perlu. (http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Keluarga/20050908092305/Article/)

Sebenarnya, kanak-kanak boleh dimarah tetapi marah pun perlu diiringi kemahiran kerana jangan sampai anak menyangka ibu bapa marah kerana membencinya, bukan marah kerana ingin memperbetulkan kesilapannya.

Walaupun segelintir anak, secara luarannya nampak tidak kisah bila dimarah tetapi jangan terkejut kerana ada segelintir yang menyimpan dendam, menyimpan pemikiran ibu bapa membencinya hingga menyebabkan apabila dewasa, mereka enggan berjumpa ibu bapanya sendiri.

Didikan yang kurang sempurna boleh memberi kesan kepada anak membabitkan keyakinan diri yang rendah menyebabkan selalu ketinggalan di dalam kelas dan mempunyai masalah disiplin. Sebaliknya didikan sempurna mampu merapatkan hubungan kekeluargaan serta melahirkan anak yang ceria dan cemerlang, serta yakin terhadap kemampuan diri kerana sering di berikan sokongan moral.

Ibu bapa selalu tersalah anggap menyatakan anak tidak memahami apa yang mereka lalui hingga menyebabkan mereka cenderung menipu. Jangan menitipkan elemen menipu dalam keluarga kerana kesannya buruk sekali.

Selain aspek didikan, apa yang dipertontonkan anak turut mempengaruhi mereka seperti televisyen dan komputer. Kotak hiburan itu sebenarnya mampu dikawal ibu bapa asalkan mereka mengambil berat apa yang dipertontonkan anak membabitkan bahan yang ditonton serta jumlah masa yang diberikan.

Program bercorak hiburan dan keseronokan semata-mata tanpa menyisipkan elemen ilmu hanya membuang masa. Program seperti realti TV yang semakin digilai kini juga harus dperhalusi kerana bukan semua yang dilihat mendatangkan manfaat. Namun dalam mendidik anak-anak ibu bapa seharusnya juga mencermin diri sendiri. Andai anak dilarang menonton terlalu lama, ibu bapa juga seharusnya mengehadkan masa menonton. Jangan menjadi mangsa TV.

Ibu bapa perlu sedar andai mereka ingin membentuk anak menjadi sempurna, ia perlu dimulakan dari dalam diri sendiri. Berkasih sayanglah sesama sendiri kerana kasih sayang itu mampu diluahkan dan diterapkan dalam diri anak-anak.

Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa hendaklah mengurangkan hukuman fizikal kerana ia hanya menyakitkan, tetapi kurang berkesan mendidik. Andai anak melakukan kesilapan yang perlu diberikan denda, jelaskan erti kesilapan mereka dan kenapa denda itu perlu dilakukan.

Dalam hal ini hukuman boleh dikenakan kepada anak-anak sebagai pengajaran tetapi beberapa perkara perlu diambil kira iaitu jangan marah ketika kita berada dalam keadaan marah; mengherdik mereka di hadapan orang ramai atau kawan-kawannya; jangan marahkan mereka kerana dirinya sebaliknya atas kesalahan yang dilakukan.
Selain daripada itu, ibu bapa jangan terlalu berharap mendapat anak yang sempurna dari segala segi kerana adalah sesuatu yang biasa andai melakukan kesilapan apatah lagi memang manusia tidak sempurna. Ia amat bergantung kepada sejauh mana kemampuan ibu bapa itu sendiri.
Matlamat disiplin ialah untuk mengawal dan membentuk peribadi anak dengan sempurna. Ada ibu bapa yang gembira andai mampu menjadikan anak bagai ‘alat kawalan jauh’ tetapi pernahkah kita terfikir adakah itu yang kita mahukan sedangkan anak mengikut kerana takut, bukan hormat.
Akhir kata, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak. Peranan guru adalah hanya di sekolah. Ibu bapa perlu menyedari hakikat itu dan memainkan peranan dengan lebih proaktif lagi supaya dapat melahirkan insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Wallahu a’lam.

Ibnu ja'far 2010

2 ulasan: