Isnin, 30 Ogos 2010

Gembira di Eidul Fitri

ISLAM adalah agama yang praktikal dan munasabah. Selepas sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan.
Oleh itu, usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan dalam keluarga pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam.
Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.
Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarahi sesama umat Islam dan menganjurkan majlis rumah terbuka.

Di sesetengah negara Asia Barat, cuti umum Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat peranginan.
Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sempena menyambut Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas syarak.
Syeikh Sayyid Sabiq berkata:
Mengadakan permainan serta bergembira selagi tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (daripada segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” (Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq)
Rasulullah SAW sendiri membenarkan penduduk Madinah al-Munawarah bergembira apabila munculnya Aidilfitri dan Aidiladha.
Anas bin Malik berkata: “Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu.
Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah sudah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasaai)
Ada beberapa hadis yang menunjukkan suasana kegirangan pada hari raya pada zaman Rasulullah SAW di mana baginda membenarkan acara permainan untuk tontonan umum dan nyanyian yang tidak bercanggah dengan syarak.
Aisyah berkata: “Hari itu adalah hari raya, di mana orang-orang Sudan sedang bermain pedang dan perisai. Aku (Aisyah) tidak ingat adakah aku yang meminta untuk melihatnya (permainan itu) atau Rasulullah SAW yang berkata: Adakah kamu ingin melihatnya lalu aku pun menjawab: Ya. Aku disuruh berdiri di belakangnya di mana pipiku dekat dengan pipi Baginda. Baginda berkata: Biar yang lain, wahai Bani Arfidah! Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: Sudah cukup? Aku menjawab: Ya. Baginda pun bersabda: Pergilah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Berkata Aisyah lagi: “Rasulullah SAW masuk ke rumahku (pada hari raya) sedangkan ketika itu aku bersama dua orang budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ath. Lalu Baginda berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya.
Ketika Abu Bakar masuk ke rumahku, dia memarahiku sambil berkata: Apakah kamu sanggup bermain dengan seruling syaitan (nyanyian) ketika berada di sisi Rasulullah SAW (Setelah mendengar ucapan Abu Bakar itu) Rasulullah SAW memalingkan wajahnya kepada mereka sambil berkata: Biarkanlah mereka.
Dalam keadaan Baginda endah tak endah, aku mengisyaratkan dengan mata kepada kedua budak perempuan itu (supaya beredar) lalu mereka keluar.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani juga sudah mendatangkan sebuah riwayat daripada Hisham yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan hari ini adalah hari raya kita.”
Sabda Rasulullah SAW ini adalah alasan Baginda untuk membiarkan kedua-dua budak perempuan itu tetap menyanyi.
Berdasarkan hadis itu al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqlani berpendapat: “Pada hari raya dibolehkan mengadakan kegiatan yang dapat menghiburkan keluarga untuk melepaskan penat lelah selepas melakukan ibadah. Menampakkan kegembiraan pada hari raya adalah sebahagian daripada syiar Islam.” (Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani)
Namun adalah diharapkan sambutan hari raya tidak seharusnya keterlaluan sehingga menjejaskan akidah atau merosakkan segala amalan yang telah kita sempurnakan ketika berpuasa pada bulan Ramadan yang baru lalu.
Begitu juga dengan perbelanjaan untuk hari raya, cukuplah setakat membeli pakaian baru dan menghiasi rumah secara ala kadar saja dan tidak berlebih-lebihan hingga menunjuk-nunjuk dan mendatangkan beban hutang.
Pada kebiasaannya juga sambutan hari raya disusuli dengan majlis rumah terbuka bagi meraikan saudara mara dan sahabat handai tapi ia tidak wajar diadakan dengan secara besar-besaran sehingga menimbulkan riak dan pembaziran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan