Rabu, 22 Disember 2010

Bukan Islam Boleh Memetik Ayat Suci al-Qur`an

http://www.drhayei.com/

Tidak Perlu Fatwa Larang Bukan Islam Petik al-Quran, kata Nakhaie



Nakhaie berkata al-Quran boleh dikaji oleh sesiapa sahaja. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 8 Dis — Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata tidak perlu bagi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan fatwa bagi melarang orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran sebagaimana disaksikan ketika Kongres Nasional PKR baru-baru ini.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Nakhaie berpendapat bahawa fatwa bagi melarang orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran tidak perlu digubal.Bagaimanapun Nakhaie menegaskan, sesiapa sahaja sama ada orang Islam dan orang bukan Islam tidak boleh membaca dan membuat huraian al-Quran sekiranya tidak terlebih dahulu memahami maksud sebenarnya ayat tersebut.
“Ia bukan tertakluk kepada orang bukan Islam sahaja tetapi orang Islam juga, kalau tidak faham tentang ayat al-Quran jangan tafsir apatah lagi mengatakannya di khalayak ramai.“Sesiapa sahaja yang nak tafsir ayat al-Quran kena belajar betul-betul supaya faham kemudian apa yang ditafsirkan itu lebih tepat dan jelas.
“Jadi bagi saya fatwa untuk halang orang bukan Islam tidak wajar kerana kita tidak boleh halang mereka untuk kaji al-Quran tapi jangan cakap kalau tak faham,” katanya.
“Kita tidak boleh larang orang bukan Islam untuk kaji al-Quran tapi kalau nak kaji biarlah teliti betul-betul, jangan main-main,” tambah Nakhaie.
Beliau berkata al-Quran boleh dikaji oleh sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam tetapi dengan syarat perlu faham maksud sebenar sebelum membaca atau membuat huraian.
“Al-Quran boleh dikaji termasuk oleh orang bukan Islam juga tetapi kena faham tafsirannya dulu sebelum nak cakap apa-apa tapi kalau nak keluarkan fatwa untuk halang tidak bolehlah.
“Yang penting jangan manipulasikan ayat al-Quran demi kepentingan politik sama ada untuk diri sendiri atau parti. Jangan manipulasikan ayat al-Quran,” katanya.
Bekas naib presiden PAS itu turut menjelaskan pemimpin tidak wajar untuk membaca dan menghuraikan ayat al-Quran di pentas politik sekiranya tidak jelas tentang maksud sebenar ayat yang ingin dihuraikan itu.
“Untuk kaji dan memahami al-Quran tiada masalah tetapi jangan pula gunakan ia di pentas politik, ini bukan untuk orang bukan Islam sahaja tetapi orang Islam termasuk Datuk Nik Abdu Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) juga.
“Jangan gunakan ayat dan tafsiran al-Quran di pentas politik, bagi kalau digunakan juga ia seolah-olah memanipulasikan ayat al-Quran. Kalau guna untuk kepentingan politik tidak boleh lebih-lebih lagi untuk mereka yang tidak faham tentang ayat-ayat al-Quran.
“Kerana jika ada pemimpin yang gunakan ayat al-Quran di pentas politik itu manipulasi namanya, sebab itu tidak boleh main-main dengan ayat al-Quran ini. Kalau tidak faham lebih baik jangan cakap,” tegas Nakhaie.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib turut menyokong pandangan Nakhaie dengan mengatakan tidak wajar untuk Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bagi melarang perbuatan orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran.
“Saya tidak tahu ia boleh mencetuskan perpecahan di kalangan masyarakat. Sekiranya tafsiran yang dibuat itu betul dan tepat ia boleh menyedarkan masyarakat.
“Mengenai tafsiran yang tidak tepat ia bukan merujuk kepada orang bukan Islam sahaja tetapi orang Islam juga, kalau tidak faham tafsiran tersebut jangan cakap. Pastikan dulu dengan betul baru boleh cakap.
“Bagi saya tidak perlu fatwa dalam perkara ini, kenapa perlu difatwakan? Fatwa tidak diperlukan tetapi kalau salah tafsir kita perlu nasihat mereka supaya tafsiran yang hendak dibuat itu perlu benar-benar tepat dengan merujuk kepada tokoh-tokoh agama atau ulama,” katanya.
Laporan media menyebut Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebulat suara mahu perbuatan orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran secara sewenang-wenangnya dihentikan bagi mengelak timbul keresahan dan perpecahan dalam masyarakat.
Majlis itu yang mengadakan mesyuarat khas di Sepang Jumaat lalu memberikan nasihat dan teguran kepada seluruh masyarakat termasuk bukan Islam bahawa teks suci al-Quran tidak boleh digunakan untuk kepentingan tertentu termasuk bagi tujuan peribadi dan politik.
Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, meskipun ulama tidak melarang orang bukan Islam membaca al-Quran, namun situasi semasa membabitkan tindakan beberapa pemimpin bukan Islam parti pembangkang menghuraikan teks kitab suci itu telah menimbulkan kekeliruan dan merenggangkan hubungan di kalangan umat Islam sendiri.
“Semua mufti melahirkan rasa tidak setuju dengan situasi yang berlaku sekarang dan perkara yang berlaku sejak 2009 termasuk isu orang bukan Islam memasuki rumah ibadat orang Islam dan terbaru tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang, S. Kesavan membaca terjemahan petikan ayat al-Quran secara salah,” kata beliau.
Oleh kata beliau, pihkanya mahu mengambil langkah menggunakan kaedah sad zaraik iaitu mencegah atau mengelakkan keraguan.
“Maka kita rasa elok elakkan menggunakan teks al-Quran di atas pentas politik dengan kepentingan tertentu apatah lagi membaca maksud al-Quran secara tidak tepat.
“Mentafsirkan al-Quran tidak boleh dibuat secara sambil lewa atau spontan di atas pentas ceramah tetapi perlu ada kaedah tertentu yang mesti difahami daripada awal,” kata beliau.
Pertemuan itu diadakan ekoran perkembangan pada Kongres Nasional PKR di mana Kesavan, perwakilan dari Perak, memetik makna Surah Ali Imran semasa membahaskan satu usul.
Kesavan dilapor membacakan terjemahan yang salah daripada Ayat 190 dan 191 Surah Ali-Imran dan ia mendapat kecaman daripada beberapa pemimpin.
Bagaimanapun Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, orang bukan Islam dibolehkan untuk memetik ayat-ayat al-Quran untuk merujuk sesuatu perkara.
Tambah Nik Aziz, berdasarkan pengalaman berceramah dengan pemimpin DAP, selalunya mereka terlebih dahulu merujuk kepadanya sebelum berucap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan