Rabu, 1 September 2010

Mendoakan Orang Kafir Dalam Khutbah Jumaat Bukan Amalan Islam

Ustaz Ahmad Tajuddin Idris al-ManhajiTuantulis81@gmail.com

Baru-baru ini kita digemparkan dengan isu khatib mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada pemimpin bukan Islam di dalam khutbah jumaat di Pulau Pinang. Isu ini telah mendapat reaksi yang berbeza dari kalangan ilmuan dan masyarakat tanah air, ada yang melarang dan ada yang membenarkan.

Secara peribadi dalam isu ini, saya lebih cenderung kepada perkataan ulama yang melarang mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada bukan Islam. Kecenderungan saya ini bukanlah membabi-buta tetapi insya-Allah akan disusuli dengan hujah ilmiah bagi meluruskan perkara berkenaan isu ini.

Ada di kalangan ustaz yang membela perbuatan boleh mendoakan kepada bukan Islam dengan mendatangkan beberapa hujah berdalilkan beberapa ayat al-Qur’an dan Sunnah baginda Nabi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Cuma apa yang hendak diingatkan ialah doa yang dilakukan oleh khatib tesebut adalah di dalam khutbah jumaat. Saya ingin bertanya kepada sesiapa yang berkenaan dalam membela isu ini apakah perbuatan mendoakan kesejahteraan dan rahmat di dalam khutbah jumaat kepada bukan Islam pernah di lakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Atau pernahkan dilakukan oleh para sahabat? Apakah pernah dilakukan juga oleh para salaf? Tentu jawapanya tidak.

Kalaulah demikian keadaannya, perbuatan yang dilakukan oleh khatib tersebut adalah perkara baru yang tidak ada contohnya dalam agama, dan setiap perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah bid’ah dan setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu di dalam neraka. Kerana khatib tersebut telah megkhususkan suatu bentuk perbuatan yang tidak pernah dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para salaf.

Memang benar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meberi ucapan “assalamualaikum” di dalam majlis yang turut dihadiri oleh orang bukan Islam. Hakikat ini bukanlah boleh dijadikan satu dalil dalam membolehkan untuk berdoa kepada bukan Islam di dalam khutbah jumaat. Bahkan ucapan salam Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut adalah umum, mungkin kita juga boleh berhujah bahawa ucapan salam Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut adalah khusus kepada orang Islam manakala yang bukan Islam tidaklah bermanfaat ucapan tersebut kepada mereka.

Kalau kita meneliti dengan mendalam, kita akan mendapati bahawa tidak pernah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada orang kafir atau musyrik dengan mengkhususkan ucapan salam dan doa rahmat kepada nama-nama tertentu dari kalangan orang musyrik.

Bahkan kata Syaikh Ismail bin Marsyud ar-Rumaih di dalam kitabnya Jahalatun Nas Fid Du’a (Kesalahan Dalam Berdoa), beliau berkata: “Mendoakan orang kafir supaya diberikan rahmat dan pengampunan adalah diharamkan, dan sesiapa yang melakukannya maka dia telah berdosa dan tidak akan dikabulkan doanya”.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar diberikan hidayah kepada orang kafir dan musyrik sama ada secara umum mahupun secara khusus dengan menyebutkan nama-nama tertentu, seperti mendoakan hidayah terhadap penduduk Thaif, iaitu berdoa supaya salah seorang Umar memeluk Islam dan mendoakan hidayah untuk kabilah Daus. (Rujuk di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’waat).

al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata: “Sekali-sekala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa kepada Allah agar mereka dihancurkan dan kadang-kala beliau berdoa kepada Allah agar mereka di beri hidayah, iaitu di saat Rasulullah mendapat tekanan yang sangat dahsyat maka beliau menempuh cara yang pertama dan apabila banyak yang beriman dan yang lainya diharapkan masuk Islam maka beliau berdoa kepada Allah agar mereka mendapat hidayah”. (Fathul Bari, 6/126)

Ada juga golongan agama yang berhujah dengan kisah yang sahih bahawa ada sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meruqyah/jampi kepada orang yang bukan Islam yang terkena penyakit gila dengan al-Fatihah sehingga sembuh dan diberikan kepada sahabat 100 ekor kambing sebagai balasan. Kisah ini dijadikan dalil dalam membela bolehnya mendoakan kesejahteraan kepada mereka.

Perlu diberikan perhatian, kadang-kala ada segelintir orang agama yang menggunakan dalil umum sebagai hujah untuk membela perkara yang khusus. Seperti ingin memaksa-maksakan dalil tersebut agar sesuai dijadikan hujah bagi membela isu agama yang ingin mereka pertahankan.

Ini adalah sebagaimana mereka mempertahankan isu khutbah Jumaat ini.

Di mana mereka menggunakan kisah ruqyah/jampi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut sebagai dalil dan hujah untuk membolehkan doa kesejahteraan serta rahmat kepada bukan Islam. Sedangkan ternyata sangat jauh berbeza perbuatan dan maksudnya di antara ruqyah/jampi dengan doakan kesejahteraan dan rahmat kepada bukan Islam. Di mana ruqyah dan jampi adalah permintaan kesembuhan penyakit fizikal manakala doa kesejahteraan dan rahmat bersifat agama dan tauqifiah.

Sekirannya teringin juga untuk mendoakan orang bukan Islam dengan dalil tersebut, maka carilah orang yang sakit dari kalangan mereka (dan dengan perminataan mereka) lalu ruqyahkan dan jampilah agar meraka sembuh. Bukannya dengan menaiki di atas mimbar di hari Jumaat yang khusus, di dalam khutbah yang khusus dan doa yang khusus pula untuk mereka. Lalu meninggalkan pula doa untuk pemimpin umat Islam yang telah tsabit dalam prinsip Ahlus Sunnah wal-Jama’ah.

Jika benar ada pendapat ulama yang membolehkan mendoakan rahmat kepada bukan Islam selagi meraka tidak mati dan tidak memusuhi Islam. Maka saya ingin membawa sebuah kisah di mana pernah ada seorang Yahudi yang ingin bersin lalu dia menghampiri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan harapan setelah ia bersin, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan mendoakannya dengan doa “yarhamukallah” (semoga Allah merahmatimu). Inilah doa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ajarkan kepada kita untuk mendoakan kepada orang Islam yang bersin. Tetapi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mendoakan dengan doa ini, bahkan nabi mendoakan kepada Yahudi tersebut dengan doa “yahdikumullah wa yuslihu balakum” (semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan membaiki hati kamu). Hadis Riwayat al-Bukhari.

Kisah ini membuktikan bahawa mendoakan rahmat kepoada orang bukan Islam tidak pernah dilakukan oleh Nabi saw secara khusus, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menggantikan doa ‘yarhamukallah’ kepada ‘yahdikumullah wa yuslihu balakum’. Kalaulah boleh mendoakan rahmat kepada mereka, sudah tentu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak akan menggantikan doa tersebut.

Kisah ini juga membuktikan bahawa tidak ada masalah untuk mendoakan hidayah kepada orang bukan Islam samada ianya memusuhi Islam atau tidak memusuhi Islam. Mudah-mudahan doa tersebut menjadi sebab Allah memberi hidayah Islam kepada mereka, pun begitu tidaklah juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan hidayah kepada bukan Islam secara khusus di dalam khutbah jumaat, melainkan ianya hanya berlaku di luar khutbah jumaat.

Berhubung dengan doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar dikuatkan Islam dengan salah seorang Umar, perkara ini juga perlu diambil perhatian kerana dalam doa ini Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara terang-terangan memohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada salah seorang Umar dengan disebutkan nama agar keislaman salah seorang dari mereka akan menjadikan Islam itu kuat.

Secara peribadi saya bersetuju agar setiap muslim mendoakan hidayah kepada orang bukan Islam yang boleh memberi manfaat kepada kekuatan Islam. Tetapi yang perlu diluruskan adalah janganlah memilih bulu untuk mendoakan hidayah individu bukan Islam dengan hanya beberapa orang sahaja, yang kelihatannya seperti ada agenda yang berat sebelah kepada ideologi politik tertentu. Sekiranya ikhlas, kenapa tidak didoakan hidayah kepada pemimpin bukan Islam yang memimpin sebelum ini. Bahkan doakan juga sekali hidayah kepada pemimpin-pemimpin dan orang-orang kaya yang bukan Islam dengan disebutkan nama-nama mereka secara khusus, jika Allah memakbulkan insya-Allah Islam akan kuat dengan ramainya orang bukan Islam menganut Islam. Malangnya, Sudah tentu perkara ini tidak akan dilakukan disebabkan fahaman sempit ideologi politik sendiri.

Saya juga bersetuju bahawa seseorang muslim boleh berbuat baik kepada mereka dalam hal muamalah dan keduniaan seperti memberi sumbangan harta dan bergaul dengan mereka selagi mereka tidak memusuhi Islam sebagaimana firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, 58: 7-8)

Dalam ayat ini juga Allah mengingatkan kita agar tidak berteman rapat kepada orang-orang yang memerangi Islam dan orang Islam. Tetapi yang sedihnya, individu yang didoakan ini sudah kita maklumi ianya berada dalam parti yang secara terang-terangan menolak hukum Alllah agar tidak dilaksanakan di Negara ini.

Apa yang kita bimbangkan, takut-takut kita terkena firman Alllah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan." (Surah Hud, 11: 113)

Bukankah menentang hukum Alllah secara terang-terangan ini adalah satu kezaliman?! Bukankah kezaliman yang besar itu adalah syirik kepada Allah?! Seperti kata Luqman kepada anaknya yang dirakamkan di dalam al-Qur’an: “...Sesungguhnya syirik itu satu kezaliman yang paling besar”. (Surah Luqman, 31: 13). Mana mungkin kita sewenang-wenangnya untuk cenderung kepada golongan yang membenci Islam dan syirik pula dalam beragama.

Bagi saya, yang terbaik bukanlah mendoakan kebaikan kepada pemimpin bukan Islam seperti memerintah dengan adil, kesejahteraan kesihatan atau keamanan harta tetapi yang sebaiknya ialah kita berdoa mohon perlindungan kepada Allah agar dilindungi dari kezaliman dalam pemerintahan, perlindugan agar tidak ditimpakan bala akibat kesyirikan pemimpin dan perlindungan agar nikmat keamanan diri dan harta tidak ditarik akibat tidak dapat memilih pemimpin Islam. Beginilah Islam mengajar umatnya agar sentiasa memohon perlindungan kepada Allah dalam semua keadaan sebagai bukti pergantungan harapan dan bukti kebenaran Islam itu adalah agama rahmat kepada sekalian alam.

Saya juga menyeru agar khatib yang mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada pemimpin bukan Islam di dalam khtubah jumaat hendaklah segera bertaubat dan mohon keampunan kepada Allah dan membetulkan kembali kesilapan yang dilakukan agar kesucian Islam terjamin. Semoga Allah SWT mengampunkan kita semua yang beriman kepada-Nya.

Semoga sedikit nasihat saya ini kepada ustaz yang mempertahankan isu tentang bolehnya mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada bukan Islam dapat merenung kembali isu ini dengan seadil-adilnya, supaya kita tidak tersalah dalam mempertahankan kebenaran. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi hidayatut taufiq kepada kita semua dan hendaklah kita sentiasa mengetahui bahawa agama itu adalah nasihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan