Sabtu, 14 Mac 2015

Hukum Bermain Permainan Komputer

Assalamualaikum. Lama sudah tidak menjengok blog ini.
Pada hari ini saya ingin berceloteh tentang hukum bermain permainan komputer. Rata-rata hari ini, masyarakat Islam sudah lalai dengan permainan komputer. Sehingga kadang-kadang anak-anak berebut dengan bapa untuk bermain permainan dalam telefon bimbit atau tab. Ini suatu yang memalukan. Saya juga kasihan kepada mereka yang sudah berusia 4 siries, masih leka bermain permainan komputer sedangkan kubur sudah semakin kuat melambai dari kejauhan. Saya teringat pesanan Prof. Dr. Muhaya dalam program di Radio IKIM. Beliau menegur mereka yan sudah berusia 40-an tetapi masih leka bermain 'game' . Gunakanlah masa yang secebis ini untuk meraih sebanyak mungkin bekalan untuk bertemu Allah.

Dalam hal ini, saya ingin menyentuh daripada aspek hukum Fiqh. Mengikut kaedah fiqh, sesuatu perkara itu tidak ada larangannya kerana pada dasarnya segala sesuatu yang dianggap boleh selagi tiada dalil yang melarangnya. Justeru, permainan komputer yang mengasah otak atau sekadar menghiburkan tidaklah haram.

Namun begitu, para ulama  menghalalkan permainan komputer selagi mengikut beberapa syarat. Syarat pertama ialah, permainan itu tidak sehingga melambatkan sembahyang. Seterusnya, hendaklah juga permainan itu tiada bercampur dengan judi. Selain itu, dalam permainan itu juga tiada mengucapkan kata-kata kotor dan tiada dicampur denagan tipu, sumpah celaka, khianat, zalim terhadap teman sepermainan, caci mencaci, melakukan perbuatan fasiq dan perbuatan -perbuatan yang menderhaka kepada Allah.

Sebenarnya, tidak slah jika saya katakan bahawa, permainan komputer merupakan permainan baharu. Jika ia melalaikan manusia daripada mengingati Allah maka hukumnya ialah haram. Pada zaman rasulullah (SAW), nabi pernah bersabda  yang maksudnya, "Barangsiapa yang bermain dadu maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya. (HR Tabrani dalam kitab al-Aushat :5/369)

Diriwayatkan daripada Buraidah bahawa nabi Muhammad (SAW) bersabda:"Barangsiapa yang bermain dadu maka seolah-olah dia telah meletakkan tangannya pada daging babi dan darahnya." (HR Muslim dalam bab al-Syi'ir(22260), Abu Daud dalam bab al-Adab(4939) dan Ibnu Majah dalam al-Adab(3763).

Kesimpulannya, permainan komputer adalah harus hukumnya selagi tidak melalaikan diri daripada mengingat Allah, tiada maksiat, tiada judi dan tiada perbuatan zalim. Sekian.

Rujukan:
Al-Kalimu al-Toyyibu: Fatawa 'Asriyah, Syeikh Ali Jum'ah, (2008), Mufti Mesir.